JASA.com adalah singkatan nama Jasazami Ahmad & Shahidah Abdullah , merupakan blog keluarga yang memuatkan semua aktiviti dan perjalanan hidup seluruh keluarga kami. Terima kasih

Ahad, 20 September 2009

Satu Hari Di 1 Syawal 1430 Bersamaan 20 September 2009


5.30 pagi
Awal-awal lagi dah bangun, almaklumlah pagi raya kita kena awal bangun. Isteri dan ibu mertua sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk hidangan di pagi Raya Aidil Fitri yang mulia ini, menu pagi raya ni nasi minyak atas permintaan ayah mertuaku. Tahun ini buat pertama kalinya aku beraya tanpa kedua-dua orang tua yang ku sayangi, ayah ku meninggal 20 hari raya tahun lepas dan ibu dah 6 tahun yang lalu. Tahun ni semua ipar dan biras ku berkumpul dirumah mertua ku.
6.30 pagi
Mandi sunat Aidil Fitri dan sembahyang subuh, kena awal mandi takut tak sempat nanti sebab bilik air hanya satu, orang ramai nak guna bilik air
8.15 pagi
Bersiap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidil Fitri setahun sekali untuk kita lakukannya. Pihak masjid telah umumkan untuk solat sunat Aidil Fitri akan dimulakan tepat jam 8.45 pagi, seperti biasalah masjid akan dipenuhi jemaah sebab itu aku bersiap awal bagi memastikan dapat tempat.
8.35 pagi
Aku tiba di perkarangan masjid telah dipenuhi oleh jemaah yang ingin menunaikan solat sunat Aidil Fitri.

9.30 pagi
Selesai solat dan khutbah Aidil Fitri yang di sampaikan oleh Iman Masjid Taman Sri Semantan. Semua jemaah bersurai balik ke rumah masing-masing.
10.00 pagi
Kami sekelurga beraya dan bermaaf-maafan sesama keluarga. Seperti biasa saya dan isteri akan meminta keampunan dari ibu dan ayah tercinta dan adik beradik yang lain. Anak-anak ku dan semua anak saudara juga menuruti kami, bagi mereka saat inilah yang dinanti-nantikan kerana mereka akan dapat duit raya.
10.30 pagi
Pergi beraya ke rumah jiran-jiran yang berdekatan mewakili ayah dan bonda yang tak sihat. Seperti biasalah rumah pertama yang di lawati adalah rumah Pak Anjang jiran sebelah rumah ayah.
12.30 tengahari
Balik ke rumah setelah penat beraya ke 4 buah rumah, bukan letih berjalan tetapi letih perut kerana bermacam-macam yang dimakan dan mungkin perut ni terkejut memyebabkan perutku terasa semacam.
2.30 - 6.30 petang
Melayan saudar-mara yang datang beraya dan melawat ayah , tak putus-putrus orang yang datang sebab ayah mertuaku mempunyai anak dan cucu saudara yang ramai. Rumah mereka merupakan tempat yang wajib dikunjungi oleh mereka setiap tahun.




Sabtu, 19 September 2009

Berbuka Bersama Seluruh Keluarga Di Akhir Ramadhan

Pada hari ni semua adik beradik aku telah berkumpul di rumah ayah di Taman Seri Semantan untuk menyambut hari raya. Dan buat pertama kalinya kami berbuka puasa bersama-sama.
Juadah berbuka puasa hari ini adalah bubur lambuk, ikan patin masak tempoyak, ikan patin goreng dan sebagainya. Emak pulak buat kuih khasidah yang dah lama tak makan.- shahidah

Jumaat, 18 September 2009

Pulang Berhari Raya

Hari ni aku & keluarga balik ke Temerloh untuk berhari raya. Tahun ni giliran kami beraya di Temerloh dahulu sebelum balik ke Batu Pahat pada raya ketiga. Tetapi, tahun ni berlainan sedikit kerana suamiku kata raya keenam balik ke Batu Pahat kerana kedua ibubapanya telah kembali kerahmatullah (ibunya 6 tahun yang lalu, bapanya Oktober 2008). Balik kesana pun hanya untuk menziarahi pakcik-pakcik & makcik-makciknya sahaja.

Selepas sahur bersama jiran tetangga lebih kurang pukul 6 pagi kami bergerak. Kami singgah di pasar borong Selayang untuk membeli barang-barang makanan untuk dimasak dipagi raya. Tak sanggup membeli di Temerloh, mahal..... dengar cerita harga barang-barang di Temerloh adalah yang kedua mahal selepas Johor Bharu. Tak tahu sejauh mana kebenarannya.
Selepas membeli belah, kami mula bergerak ke Temerloh lebih kurang pukul 7 pagi. Banyak kenderaan telah mula bergerak ke Pantai Timur. Suami memandu sehingga di persimpangan Genting sahaja kerana mengantuk (belum tidur lagi - pergi uptown Kota Damansara bersama kawan-kawannya). Aku memandu terus menuju ke Temerloh. Dah lama aku tak memandu di Lebuhraya Karak ni, biasanya suamiku akan menyuruh aku memandu selepas tol Karak (Lebuhraya Pantai Timur) je, sebab dia boring memandu di jalan yang lurus. Terasa berat keretaku kerana bawa banyak barang. Kenderaan banyak dijalanraya tetapi masih boleh memandu 90 km - 110 km.
Tiba di tol Bentong, kelihatan banyak kenderaan masuk ke Bentong sehingga jammed dari tol Bentong. "Orang Kelantan balik kampung" kata hatiku.
Alhamdulillah, kami tiba di depan rumah orang tuaku jam 8.30 pagi. Aku mengejutkan suamiku yang duduk disebelahku yang sedang tidur nyenyak... - Shahidah

Sahur Bersama Jiran Tetangga Ramadhan 1430

Sahur bersama jiran tertangga julung kali diadakan sebelum semua pulang ke kampung untuk berhari raya. Seperti biasa Restoran Durba sebagai destinasi atau tempat yang menjadi pilihan kami menjamu selera untuk sahur.

Seperti biasalah aku hanya minum air untuk bersahur dan melayan kekawan.
Menu di kedai mamak apalagi roti canai and the ganglah.

Isnin, 14 September 2009

Sambutan Ulangtahun Along ( Syafiq )

Sambutan ulangtahun ke 11 Along disambut secara sederhana di rumah Kak Ngah ku di Serdang bersama-sama adik beradik dan anak saudara selepas berbuka puasa. Along dapat kek yang di idamkan iaitu kek bertemakan permainan bolasepak ( sukan kegemarannya).

Makin besar umur anak maknanya makin tualah kita,tak berapa hari lagi aku pulak nak sambut ulangtahun kelahiran.

Sabtu, 12 September 2009

Majlis Berbuka Bersama Jiran Tertangga


Majlis Buka Puasa Bersama Jiran Tertangga di Perangsang Templer Park . Ini merupakan majlis berbuka puasa pertama kali diadakan bersama-sama jiran tertangga. Memang seronok makan beramai-ramai (52 orang ) . Menu yang banyak dengan rasa yang enak terutama kambing panggang menambah selera. Kanak-kanak lagi seronok dapat berbuka bersama kawan-kawan di meja mereka sendiri tanpa ditemani oleh ibu bapa.
.


Kami semua rasa seronok dan merancang untuk mengadakan majlis berbuka puasa sebegini setiap tahun, serta merancang juga yang lain melibat jiran tetangga. Mungkin lepas ni kita akan menganjurkan melancong beramai-ramai. Dengan adanya aktiviti seumpama ini akan menjadikan hubungan antara jiran tertangga bertambah erat. Selesai berbuka kami bergambar beramai-ramai sebagai kenangan.

Bermain Bowling Bersama Jiran Tertangga

Bermain bowling boleh dengan rakan setaman , alangkah seronoknya dengan berbagai gaya yang tersediri. Kebanyaknya lama tak main , jadi longkanglah sasarannya.
sebelah Aku beraksi .
Semua cuba menunjukkan bakat terpendam bermain bowling walaupun memang tak reti main.
Anak-anak pun tak ketinggalan mencuba bakat bermain bowling , gayanya ada yang berbakat bermain walaupun pertama kali bermain. Keputusan permainan dimenangi oleh En Saiful Nizam , aku setakat dapat tempat ketiga ( jadilah ). -jasa

Khamis, 10 September 2009

Tengah Kemaskini Blog



Waktu rehat tak tahu apa nak buat ni, apalagi kemaskinilah blog saya di tempat kerja. Ada blog ni lah masanya cuba-cuba menulis apa yang patut sebenarnya saya ni malas menulis sejak dari sekolah, tapi bila ada blog rajin pulak , masa-masa tertentu aje kadang-kadang lama juga blog tak update.Menulis dan kemaskini blog dapat melepaskan rasa boring serta dapat menabah maklumat ke dalam blog. Aku harap lebih ramai lagi kekawan ku yang membuat blog supaya dapat bertukar cerita , pengalaman dan pengetahuan.

Ahad, 6 September 2009

Sehari Di Hujung Minggu Ahad (06 Sept 09 )

4.50 pagi
Sahur di McD Rawang sebab semalam penuh dengan aktiviti yang
padat , tak sempat nak masak untuk sahur sebab keletihan.


8.00 pagi
Bersiap untuk ke KL membeli pakaian raya untuk anak-anak tema tahun ini ungu, merah dan hijau.


9.00 pagi
Sampai di KL ingat nak parking kat Jalan Masjid India tapi dah penuh terpaksalah parking kat Semua House . Berjalan-jalan di Bazar Ramadhan di lorong antara Jalan TAR dan Jalan Masjid India untuk ke Sogo ada sale hari akhir. Harap-harap dapat baju yang sesuai dan saiz ngam.



12.30 tengahari
Selesai shopping kat Sogo gi ke lorong belakang Kamdar, orang ramai baru sampai keadaan sesak. Sebab terlalu ramai orang aku dan anak-anak rasa tak selesa dan ambil keputusan balik awal .

2.00 petang
Gi ke rumah kakakku di Serdang Raya, sejak puasa aku tak jumpa kakak ku disebabkan sibuk dengan kerja dan aktiviti taman serta balik kampung (Temerloh) minggu lepas.
5.00 petang
Bertolak ke Taman Tun untuk berjumpa ipar dan biras ku di stesen minyak Caltex sebelum gi berbuka bersama-sama.

7.00 malam
Semua dah berkumpul di Bora Asmara, Kg Sungai Penchala untuk berbuka puasa.


Kami sekeluarga bersama ipar dan biras menikmati juadah berbuka puasa .


Menu juadah berbuka puasa di Bora Asmara ada berbagai-bagai
jenis yang semuanya enak berlaka.


Satu yang istimewa ada live band yang menyanyikan lagu dari meja ke meja ketika di meja kami meminta mereka mendendangkan 2 buah lagu, lagu raya nyanyian P.Ramlee dan Bila Bulan Berbicara nyanyian Brorey, ketika lagu ini didendangkan kami menyanyi bersama.



9.30 malam
Kami bersurai balik ke rumah masing-masing.

Sabtu, 5 September 2009

Bubur Lambuk Jiranita Taman Pelangi Rawang

9.00Pagi ..
Persiapan (rewang)untuk membuat bubur lambuk dan gulai daging masak hitam seawal 9.00 pagi yang diketuai oleh Kak Zai sebagai tukang masak. Ini merupakan aktiviti kaum ibu Taman Pelangi Rawang sempena bulan Ramadhan tahun ini yang diadakan di rumah Kak Zai, Jalan Pelangi 4. Kerja-kerja mengupas bawang , memotong daging , membasuh beras dan memotong bahan-bahan yang lain dilakukan dengan penuh tekun dan meriah kerana dapat berkerja bersama.

Kos membuatnya adalah hasil kongsi bersama penduduk Taman Pelangi. Bubur lambuk dan daging masak hitam akan diagihkan kepada penduduk dan anak-anak yatim di taman sebelah dan Darul Atiq Kuala Kubu Baru.

11.00 pagi ...
Kerja-kerja memasak bubur lambuk bermula diketuai oleh Kak Zai yang berpakaian warna merah dan dibantu oleh kaum ibu yang lain.

1.00 petang


Bubur lambuk hampir masak kelihatan Kak Kamaliah & kak Shahrom sedang mengacau bubur.





1.30 petang
Kaum ibu sibuk dengan kerja-kerja membungkus bubur lambuk untuk semua penyumbang , anak-anak yatim , jiran-jiran dan surau , sementara menunggu lauk daging masak hitam masak.

5.00 petang

Bubur Lambuk dan lauk daging diserahkan kepada wakil pengurusan Darul Atiq Kuala Kubu Baru. Pihak pengurusan Darul Atiq amat berbesar hati menerima sumbangan dan mengucapkan terima kasih kepada penduduk Taman Pelangi Rawang yang telah menyumbang.


Saya amat terharu dan bangga kepada kaum ibu penduduk Taman Pelangi Rawang yang banyak menyumbang tidak kira dari segi kewangan , masa dan tenaga dan saya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kerja-kerja anda dan berharap banyak lagi kerja amal yang akan dijalankan .- shahidah