JASA.com adalah singkatan nama Jasazami Ahmad & Shahidah Abdullah , merupakan blog keluarga yang memuatkan semua aktiviti dan perjalanan hidup seluruh keluarga kami. Terima kasih

Rabu, 4 Ogos 2010

Kongsi Kenduri Tahlil Dan Menyambut Ramadhan Jiran Sepakat

1 Ogos 2010, Ahad - Bagai berada di kampung pulak bila nak puasa buat kenduri. Tapi di sini lain pulak kita orang buat secara bersama/berkongsi. Hj Saiful & Fiq telah menawarkan rumah mereka untuk dijadikan tempat kenduri. Semuanya bersama/berkongsi dari keluar duit, kerja dan makan. Selama 3 minggu kaum ibu telah mula merancang dari segi bajet, menu, jemputan dan sebagainya. E-mail dan SMS pemberitahuan telah dihantar kepada jirantetangga. Sumbangan kewangan telah diterima sehingga ke malam sebelum kenduri. Seramai 30 buah keluarga telah berkongsi dimana jumlah sumbangan kewangan adalah menurut keikhlasan masing-masing. Alhamdulillah, jumlah sumbangan menghampiri RM3000.00.
Kami juga berniat untuk menyedekahkan sejenis lauk kerumah anak yatim. Bermula Selasa 27 Julai  pada setiap malam kaum ibu mula menghantar barang-barang keperluan kenduri seperti dapur, tungku dapur, tikar, tong air dan sebagainya kerumah Fiq. Jumaat malam, kaum ibu membeli barang-barang kering dan kaum bapa memasang khemah untuk memasak.Sabtu pagi sekali lagi kaum ibu membeli barangan basah pulak. Selepas tu bermulalah gotong-royong  (rewang) menyediakan bahan untuk di masak, petang itu juga kami memasak rendang daging.
Malam pula ada majlis sambutan hari jadi untuk ibu Fiq, Hj Saiful dan Fiq. Kita semua makan malam bersama di rumah Hj Saiful. Pagi Ahad rewang bermula seawal jam 4.30 pagi dimana kaum bapa pergi ke pasar borong Selayang untuk membeli ayam dan santan . Jam 6.30 pagi bila ayam tiba ramai kaum ibu dan bapa telah menunggu untuk membasuh ayam dan kerja-kerja lain supaya semuanya berjalan lancar dan siap sebelum pukul 11.00 pagi. Menu hari ini ialah ayam goreng berempah, ayam masak lemak, rendang daging, sambal udang petai,  ikan masin, ulam, aneka kuih dan air teh perisa limau. Tepat jam 11.00 pagi para jemputan mula datang, majlis bacaan yassin, tahlil dan doa selamat di mulakan jam 11.30 pagi.
Selesai majlis bacaan yassin, tahlil dan doa selamat semua yang hadir makan bersama. Setelah selesai kami pun mengemas bersama-sama. Jam 5.00 petang, ketika kaum ibu masih mengemas dan membasuh, kaum bapa telah pergi kerumah anak yatim di Tasik Puteri untuk menghantar makanan dan barang-barang keperluan asas yang lain seperti beras, gula, susu dan lain-lain dengan menggunakan duit lebihan daripada perbelanjaan kenduri.
Syukur alhamdulillah, kami berjaya melakukan beberapa perkara diluar jangkaan seperti, niat asal untuk sedekah sejenis lauk kerumah anak yatim tetapi, kami dapat memberi mereka semua jenis lauk. Kami tiada niat untuk bersedekah barang-barang lain tetapi, oleh kerana ada lebihan wang perbelanjaan kenduri, kami dapat membeli barang-barang keperluan asas yang lain seperti beras, gula, susu dan lain-lain untuk anak-anak yatim tersebut.
Terima kasih kepada yang menyumbang dari segi wang, tenaga dan sokongan
Jumpa Lagi Di Majlis Yang Lain

Tiada ulasan:

Catat Ulasan