Setelah sekian lama tak gi konsert aku dan rakan-rakan otai sama-sama gi layan Konsert Double Trouble Search & Wings di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort. Kita orang sampai pukul 7.05 malam kawasan sekitar Bukit Kiara dah dipenuhi kereta di tepi jalan. Setelah meninjau di kawasan berhampiran Suruhanjaya Sekuriti, akhirnya dapatlah parking di hadapan jalan masuk ke bangunan ini.Kita orang pun menuju ke Indoor Arena dimana konsert ini berlangsung, kelihatan ramai penonton sudah membanjiri diseluruh kawasan ini.
Masa awal lagi kita orang pun menunailkan solat maghrib dahulu di surau yang disediakan, bak orang kata rock, rock juga solat jangan lupa. Selepas solat sama-sama menuju ke Indoor Arena mencari tempat yang sesuai, masih ada ruang lagi. Semakin lama semakin sesak dibuatnya sampai sesak nafas, ada yang dah mula pengsan.
Jumlah penonton yang terlalu ramai lebih 20,000 orang yang telah membeli tiket dari pengumuman yang dibuat oleh DJ. Konsert bermula jam tepat jam 9.00 malam dengan kedua-dua band mendendangkan lagu Gemuruh dari album Double Trouble. Penonton mula bersorak dan menyanyi bersama-sama .
Lagu demi lagu dinyanyikan tanpa henti dari kedua-dua band. Semua lagu yang dinyanyikan penonton turut sama-sama menyanyikannya bersama Amy & Awie. Aku hanya larat berada di dalam Indoor Arena untuk10 lagu aje sebab terlalu ramai dan panas . Aku keluar, rupa-rupanya kawanku pun keluar dan ramai penonton yang berada diluar sebab tak dapat masuk. Kami sama-sama layan lagu dari luar aje hinggalah konsert tamat. Konsert berakhir hampir ke jam 12.00 malam.
Petikan Dari Utusan Malaysia Online 4 Mei 2010 , Selasa
Double Trouble 2 (DT2) ulangi kejayaan 17 tahun lalu
Oleh ABD. AZIZ ITAR aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR
DUA vokalis kumpulan rock Search dan Wings ini masih unggul dalam persada muzik tanah air.
SEAWAL pukul 6 petang lagi, jalan Bukit Kiara menuju ke Indoor Arena, Bukit Kiara Equestrian & Country Resorts dari kedua-dua hala sesak teruk dengan pelbagai jenis kenderaan.Semuanya gara-gara penganjuran Konsert Double Trouble 2 (DT2) yang dijayakan dua gergasi rock tanah air iaitu kumpulan Search dan Wings .Ramai peminat yang terpaksa meletakkan kenderaan di sepanjang jalan sehingga hampir tiga kilometer jauhnya dari tapak konsert semata-mata kerana penangan dua kumpulan tersebut.
Dua jam sebelum DT2 bermula, sebahagian daripada hampir 20,000 peminat mula berduyun-duyun menuju ke Indoor Arena di mana kesesakan bukan sahaja berlaku di jalanraya tetapi juga pintu masuk tapak konsert itu.Jalan Bukit Kiara yang mempunyai tiga lorong menjadi satu lorong kerana ramai yang meletakkan kenderaan di tengah jalanraya memperlihatkan sambutan para peminat.
DT2 secara tidak langsung boleh dikatakan mengulangi kejayaan Search dan Wings sewaktu mereka mengadakan DT1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (KL) pada 1993 yang juga ditonton hampir 20,000 peminat mereka.Konsert yang diambil inspirasi berdasarkan album duet Search dan Wings berjudul Double Trouble yang diterbitkan pada 1992 dengan jualan lebih 180,000 unit itu jelas membuktikan dua kumpulan itu masih unggul hingga kini.Meskipun pada malam yang sama, turut berlangsung Konsert Mega Ungu Malaysia 2010 yang dijayakan oleh kumpulan rock Indonesia, Ungu di Bukit Jalil, KL dan konsert Tokio Hotel dari Jerman di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Sayangnya, Ungu bukan saingan Search dan Wings kerana mereka hanya mampu menarik sekitar 2,000 penonton sahaja pada konsert yang mengenakan tiket dari RM50 hingga RM200 itu.Sementara kumpulan remaja Tokio Hotel yang kini sedang mempromosikan album terbaru mereka berjudul Humanoid pula hanya berjaya menarik seramai kira-kira 5,000 peminat menyaksikan konsert yang diadakan secara percuma itu. Konsert DT2 yang mengenakan tiket berharga RM70 itu berjaya menepis tanggapan segelintir pihak yang mengatakan mereka tidak mampu lagi beraksi di atas pentas berskala besar.
Faktor umur anggota dua kumpulan itu yang berusia awal 40-an hingga 52 dikatakan sedikit sebanyak boleh menjejaskan stamina persembahan anjuran Adept Net Production yang berlangsung selama hampir tiga jam itu.Harga tiket yang dikatakan agak mahal juga tidak menghalang para peminat Wings dan Search menonton konsert itu yang mampu mengimbau semula DT1 yang diadakan 17 tahun lalu.Imbauan pada konsert DT2 yang bermula sekitar pukul 8.45 malam itu dapat dilihat apabila dua kumpulan itu seolah-olah berduet satu sama lain dalam menyampaikan hampir 25 lagu termasuk medley popular masing-masing.
DT cukup unik kerana secara tidak langsung ia menggambarkan keakraban Search dan Wings bukan sahaja di luar pentas, malah ia terbawa-bawa sehingga di atas pentas.Vokalis Search, Amy contohnya menyanyikan lagu Balada Pemuzik Jalanan yang dirakamkan pada 1984 sambil alunan muziknya dipersembahkan oleh anggota-anggota Wings iaitu Joe selaku pemain gitar, Eddie (bass) dan Black (dram).Awie yang merupakan vokalis kumpulan Wings juga menggunakan pendekatan sama sewaktu menyanyikan lagu Opera Hidup di mana ia diiringi oleh anggota-anggota kumpulan Search.Anggota-anggota Search yang mengiringi persembahan Awie menerusi lagu itu ialah Din (gitar), Kid (gitar), Nasir (bass) dan Yazit (dram) memperdengarkan gaya persembahan yang jarang mereka persembahkan. Selain dibanjiri ramai peminat, DT2 juga memperdengarkan sistem bunyi yang lebih jelas dan mantap tidak seperti sewaktu Search mengadakan Konsert Di Awan Biru tahun lalu yang ditonton sekitar 10,000 peminat.
Pemain dram Search, Yazit Ahmad berkata, dia amat berpuas hati dengan sistem bunyi konsert DT2 kerana ia cukup berbaloi dengan harga tiket yang dikenakan di mana sebelum ini ada yang melabelkannya sebagai mahal.
"Konsert ini tarafnya sama dengan konsert artis-artis luar negara. Harga tiket mahal sedikit tetapi para penonton puas hati," katanya kepada Hits sewaktu ditemui pada konsert tersebut.Pada konsert itu, Search dan Wings tidak ketinggalan menyanyikan lagu-lagu yang dipetik daripada album Double Trouble 1 dan Double Trouble 2 antaranya berjudul Paranoid, Analogi, Puisi Merdeka dan Gema Di Inderaloka. Bagaimanapun, para peminat seakan-akan berasa tidak puas apabila dua kumpulan rock legenda tanah air itu hanya sekadar menyanyikan lagu-lagu hit mereka dalam bentuk medley.Antara lagu yang disampaikan secara medley oleh Amy dan Awie berjudul Semalam Yang Hangat, Gadisku, Misteri Mimpi Syakilla dan Taman Rashidah Utama di mana para penonton yang kebanyakannya berusia 24 hingga 45 tahun menyanyikannya bersama-sama.
Mungkin kesesakan jalanraya dan kepayahan untuk mendapatkan tempat letak kenderaan berjaya mengubat rasa kepenatan para peminat itu sewaktu menyanyikan lagu-lagu tersebut.Cuma di lain kali, pihak penganjur seharusnya mencari tempat konsert yang bukan sahaja mudah untuk dikunjungi dengan kemudahan awam, malah keselesaan daripada segi meletak kenderaan para peminat juga perlu diambil kira.Selain kesibukan para peniaga menjual air dan makanan ringan seperti keropok lekor, ramai juga yang mengambil kesempatan menjual kemeja-T Search yang dicetak rompak serta poster kumpulan itu di luar pintu masuk tapak konsert itu.
Lagu-lagu lain yang turut mengimbau nostalgia yang diperdengarkan pada konsert itu bertajuk Alam Barzakh, Mabuk 7 Lautan, Sejati, Kau Masih Berdegil, Isi Atau Kulit, Isabella, Immenuelle, Cakap Memang Mudah, Nur Nilam Sari dan Meniti Titian Usang. DT2 boleh dianggap sebagai konsert artis tempatan paling ramai ditonton oleh para peminat pada 2010 setakat ini itu mula melabuhkan tirainya menjelang lewat tengah malam. Search dan Wings sekali lagi bergabung di atas satu pentas bersama petikan tiga gitar, dua bass dan dua dram bagi mengalunkan lagu secara duet berjudul Rock 'N Roll Lu Punya Suka dan Pasti sebagai lagu encore atau penutup tirai.
Petikan Dari Kosmo Jumaat 7 Mei 2010
Sejarah tersendiri Search, Wings
Oleh MALIAH
SURIPmaliah.surip@kosmo.com.my
1 Mei2010, Indoor Arena, Bukit Kiara Equestrian & Country Resorts telah mencatat satu sejarah baru. Sudah lama, mungkin boleh dikatakan hampir pupus kesesakan yang dibikin lautan rakyat tempatan daripada kelompok generasi muda dan tua hanya untuk menyokong pemuzik Malaysia.
Namun, kesesakan tersebut sudah boleh dijangka dengan hampir 20,000 penonton membanjiri lokasi tersebut hanya untuk menjadi saksi kepada kolaborasi dua legenda, Search dan Wings dalam Konsert Double Trouble mereka. Ada beberapa faktor yang menyebabkan peminat sanggup berasak dan bersesak untuk menjadi saksi konsert tersebut. Ada yang datang untuk mengubat kerinduan melihat kembali gabungan Double Trouble selepas 17 tahun tidak berkongsi pentas. Untuk generasi muda, mereka datang sebagai sokongan dan 'mendalami' muzik Wings dan Search yang telah berkumandang barangkali sebelum mereka lahir. Lantas, mereka mahu menjadi kelompok yang mempunyai pengalaman untuk dikongsi cerita tentang kolaborasi dua grup tersebut.
Kehadiran generasi tua pula adalah kelompok yang datang untuk mengimbau nostalgia dan membuktikan bahawa usia tidak memamah mereka untuk menghindari muzik bawaan Search dan Wings.
Juga, ada yang hadir untuk melihat kemantapan vokal Awie dan Amy. Mahu menjadi saksi padunya permainan setiap anggota Search seperti Kid, Din, Nasir dan Yazit. Begitu juga mahu melihat kentalnya rock Wings dengan permainan Joe, Eddie dan Black. Lebih daripada itu, semua yang hadir mahu menzahirkan aprisiasi serta cinta mereka terhadap dua grup tersohor tanah air ini. Lantas berbondong-bondong mereka datang untuk merasakan fenomena Double Trouble pada malam tersebut. Sebuah pentas dibina pada hujung stadium tertutup yang boleh memuatkan sehingga 20,000 orang. Tepat pukul 9 malam stadium yang memang sudah bingit dengan semangat lebih 18,000 orang itu bergema sebaik melihat kelibat Wings dan Search di atas pentas. Tidak menunggu lama untuk membuat malam yang sudah hangat itu menjadi 'panas' mereka bergabung melontar Gemuruh. Sepantas itu juga, satu stadium bergemuruh dengan paduan suara peminat yang tidak segan menyanyi sama.
Bermula dengan Gemuruh, konsert diteruskan dengan lebih 25 lagu hit mereka yang disampaikan secara solo juga bergabung tenaga. Ini termasuklah untaian lagu hit daripada album Double Trouble seperti Paranoid, Puisi Merdeka, Gema Di Inderaloka dan Puisi Merdeka. Tidak terlepas Search memainkan lagu Wings, begitu juga sebaliknya apabila Awie memilih lagu hit Seacrh, Balada Pemuzik Jalanan dan Amy mendendangkan Opera Hidup dengan caranya tersendiri. Harus diakui, pada pertengahan konsert, momentumnya sedikit menurun apabila Search memilih beberapa lagu yang kurang digemari peminat.Malah ada yang mengeluh kerana kehebatan sistem bunyi yang disediakan masih tidak dapat menutup cela anggota Search memainkan sebuah persembahan yang padat. Bagi peminat yang datang dan begitu mementingkan kualiti permainan, sedikit perasaan kecewa terpalit dalam jiwa apabila merasakan permainan Search pada malam itu kurang padu.
Berbeza dengan persembahan Wings yang disifatkan lebih padu dan bertenaga, untaian lagu pilihan grup yang sudah berusia 25 tahun ini lebih relevan dan memicu adrenalin peminat untuk larut dalam konsert mega itu. Namun, momentum diselamatkan dengan kolaborasi medley lagu hit Wings dan Search yang diletakkan kira-kira setengah jam sebelum konsert melabuhkan tirai. Pemilihan medley yang cukup tepat seperti lagu Misteri Mimpi Syakilla, Gadisku, Semalam Yang Hangat, Taman Rashidah Utama dan Nur Nilam Sari telah membuat hampir semua peminat bagai dirasuk untuk menyanyi bersama Search dan Wings.
AKSI mesra Awie mengangkat Amy membuahkan tawa penonton.
Turut terselit dalam susunan lagu pilihan mereka termasuklah Isabella, Isi Atau Kulit, Immenuelle, Mabuk 7 Lautan, Kau Masih Berdegil dan Meniti Titian Usang. Secara keseluruhannya, seharusnya Konsert Double Trouble anjuran Adep Net Production ini tidak menjadi medan perbandingan kehebatan salah satu grup. Ironi, baik Search atau Wings, masing-masing telah membuktikan kredibiliti. Search pada usia kerjaya 30 tahun dengan hampir semua anggota sudah mencecah usia lebih 40 tahun, menyaksikan mereka masih ligat di atas pentas, Amy berusaha memberi lontaran vokal dan persembahan menguja, Search tidak kalah kepada Wings sebenarnya. Hanya kerana Wings tampak lebih solid dan kental malah begitu konsisten dalam setiap lagu yang dimainkan, maka terbit sedikit perbandingan yang seharusnya tidak wujud. Seperti kata Awie: "Search dan Wings tidak berkongsi pentas untuk berlawan atau membuktikan siapa lebih hebat. Tapi kami menonjolkan kolaborasi dua grup untuk menjayakan sebuah konsert." Double Trouble Jejalah Malaysia Suksesnya konsert ulung itu pada malam Hari Buruh yang lalu telah membuka jalan untuk Search dan Wings meneruskan konsert mereka dalam sebuah siri jelajah. WINGS kelihatan lebih padu dan bertenaga. "Insya-Allah, jika tiada aral, Double Trouble akan bermain di Johor Bahru pada 5 Jun depan di Stadium Larkin. Konsert jelajah ini dibuat kerana pihak penganjur berpendapat konsert sulung kami sukses di Malaysia," ujar Awie yang sudah menjangkakan Konsert Double Trouble memang akan meraih sukses berdasarkan kelompok peminat Search dan Wings yang memang ramai.
Tambah Amy yang begitu berpuas hati dengan konsert pada malam tersebut, mereka akan menukar susunan lagu untuk konsert di Johor Bahru kerana percaya setiap peminat di negeri mempunyai cita rasa muzik yang berlainan. Bagaimanapun vokalis Search itu berjanji persembahan di negeri kelahirannya itu akan dilaksanakan dengan lebih baik berbanding di Kuala Lumpur. "Pada setiap konsert, kita selalu mahu melakukan yang terbaik. Pada pandangan saya, selain persembahan yang mantap daripada pemuzik, faktor kejayaan sesuatu konsert itu terbukti sukses apabila ia mampu menarik penonton yang ramai. Dan itulah yang terjadi pada konsert ini," kata Amy penuh semangat. Apa yang dinyatakan Amy memang benar. Walaupun tanpa penajaan daripada syarikat-syarikat korporat yang lebih senang menaja konsert artis luar, Konsert Double Trouble telah memahat sejarah tersendiri. Dengan hanya dijayakan oleh pihak penganjur dan pasukan promosi yang bertungkus-lumus menjadikan konsert ini satu realiti, nampaknya lelah mereka berbaloi dengan kehadiran lebih 18 ribu penonton.
Bayaran RM70 yang dirasakan agak murah untuk menyaksikan dua pemuzik gergasi tempatan ini beraksi nyata menjadi pancing paling relevan untuk semua peminat mereka. Paling penting, dengan harga yang berbaloi, dilaksanakan pada hari cuti umum dan awal bulan, siapa saja yang sanggup melepaskan peluang menjadi saksi Konsert Double Trouble kembali beraksi selepas 17 tahun.