JASA.com adalah singkatan nama Jasazami Ahmad & Shahidah Abdullah , merupakan blog keluarga yang memuatkan semua aktiviti dan perjalanan hidup seluruh keluarga kami. Terima kasih

Sabtu, 3 April 2010

Dalam Kenangan - Ayahku Abdullah Bin Long

Jam 10.00 malam 31 Mac 2010 , ayahku disahkan telah  meninggal dunia oleh para  doktor pakar yang merawatnya. Setelah sekian lama mengalami penyakit tak ada selera makan, tiba-tiba pada 1 Mac 2010 ayah telah memberitahu emak yang beliau mahu ke PUSRAWI untuk mendapatkan rawatan. Kami pun mengambil beliau di Temerloh dan menghantarnya terus ke PUSRAWI pada 2 Mac 2010. Doktor telah mengesahkan terdapat batu karang dikedua-dua buah pinggang, paru-paru berair dan ada sedikit masalah di hempedu. Beliau di tahan di wad selama 11 hari , tapi atas faktor usia doktor tak berani membedahnya. Ayah dibenarkan pulang pada 13 Mac 2010 dan dia setuju untuk pulang ke rumah ku di Rawang walaupun pada permulaannya beliau mahu balik ke Temerloh. Di sini ayah cuma berehat dan makan ubat yang dibekalkan oleh doktor, tetapi selera makannya masih kurang. Setelah berada 11 hari berehat di rumah ku dia mengadu sakit perut yang kuat. Pada 24 Mac 2010, aku menelefon hospital untuk mendapatkan ambulan bagi membawa ayah ke hospital, beberapa minit kemudian ambulan dari Hospital Sungai Buluh datang dan dia dibawa terus ke  Hospital Sungai Buluh. Setelah diperiksa dia disahkan yang ususnya bermasalah dan dipenuhi angin serta telah dijangkiti kuman. Ayah bertuah kerana semasa dia di hospital, ramai doktor pakar yang merawatnya. Aku mula merasa kelainan pada diri ayah kerana pada 25 Mac 2010 semasa aku menemani beliau di hospital (dari jam 9.00 malam sehingga 9.00 pagi), beliau tidak tidur dari jam 2.00 pagi hingga 7.00 pagi dan ketika itulah beliau bercakap dengan ku "Ayah nak balik" "Nak balik kemana?" "Nak balik ke Rawang". Itulah yang diucapkannya, kalau tak salah, lebih sepuluh kali dia bercakap sedemikian . Bila aku cakap "tak nak balik Temerloh?" "tak payahlah, jauh sangat, menyusahkan je".
Beberapa kali aku tanya, beliau masih dengan jawapan yang sama. Sekali lagi aku terkejut bila aku ke hospital pada 30 Mac 2010, ayah bercakap dengan sebutan yang tidak jelas. "Ayah dah tak lama ni", detik hatiku, tetapi aku cuba bertenang dan memujuk hatiku "ayah masih boleh bertahan, ya Allah, berilah aku peluang untuk menjaga ayah lagi, inilah bakti aku yang terakhir". Pada 31 Mac 2010, sepupuku (juga seorang doktor) telah menghantar sms mengenai diagnois ayah iaitu pseudomembranouscolitis, aku terus cari kat goggle utk mendapatkan keterangan yang lebih jelas mengenai penyakit ayah. Selepas kerja, seperti biasa aku ke hospital.
Tekanan darah ayah turun naik sehingga bawah 50/50. Ayah masih bercakap sehingga pukul 8 malam. Dia gelisah aje, kejap ke kiri & kejap ke kanan. Pukul 8 malam, doktor kata ayah ada problem jantung sedikit. Doktor cuba memasukkan tiub dihidungnya bagi mengeluarkan kotoran diperutnya tetapi ayah tak mahu. Pukul 8.30 malam doktor beritahu ayah kena serangan jantung. Aku tahu "it is the matter of time only". Tiba-tiba pukul 9 malam, aku dengar doktor memanggil nama ayah, mereka cuba selamatkan ayah.
Pukul 9.30 malam, doktor beritahu kami, mereka sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan ayah. Aku dan adik yang bongsu terima apa yang diperkatakan oleh doktor tetapi kakak ipar ku minta doktor cuba lagi. Tepat pukul 10 malam, doktor beritahu bahawa ayah tidak respon langsung. Kami semua terima dengan redha. Ayah telah pergi buat selama-lamanya. Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang merawat dan menjaganya.Jenazah ayah dibawa pulang ke rumah ku di Rawang , jenazah tiba di ruamah pada pukul 11.30 malam. Ketika tiba di rumah ramai jiran berkumpul dengan membaca yassin dan tahlil. Keesokan harinya, 7.30 am jenazah dibawa ke Masjid Jamek Rawang untuk dimandikan, dikapankan dan disembahyangkan. Ramai yang hadir ke masjid sehingga parking penuh. Jam 11 pagi  jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kuala Garing. Upacara pengembumian ayah mendapat liputan TV3 dan banyak suratkhabar terutama Kumpulan NSTB.
Kami sekerluarga telah mengadakan bacaan Yassin dan Tahlil selama 3 malam berturut. Ramai saudara mara , jiran tertangga dan sahabat andai kami yang hadir ke majlis ini.Kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua  saudara mara, sahabat andai , jiran tetangga dan yang lain kerana membantu dari segi sedekah Al-Fatihah, Doa, wang, tenaga dan sebagainya. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. AMIN!!! - shahidah

Kenangan

3 ulasan:

  1. Salam Shahidah. CJ ucapkan takziah semuga Allahyaham dicucuri rahmat.

    BalasPadam
  2. salam mokde, sama² kita sedekahkan alfatihah buat aki. kesedihan ni saya tetap merasa.

    BalasPadam