JASA.com adalah singkatan nama Jasazami Ahmad & Shahidah Abdullah , merupakan blog keluarga yang memuatkan semua aktiviti dan perjalanan hidup seluruh keluarga kami. Terima kasih

Rabu, 30 September 2009

Ulangtahunku Yang Ke 38

Semalam 29 Sept 2009 genap usiaku 38 tahun, aku bersama keluarga menyembut di KFC semasa makan malam.Dengan ini bertambah lagilah usiaku dan menuju ke era 40'an . Semoga dengan bertambahnya usiaku maka bertambahlah amal ibadat, rezeki dan bertambah sihat.



Bertambah usia maka makin tualah kita. Jadi jangan kita ingat yang kita muda saja.Kami akan menyembut ulangtahun kelahiran setiap ahli keluarga secara sederhana.

Sabtu, 26 September 2009

7 Syawal - Balik Semula Ke Kuala Lumpur

7.00 pagi
Bersiap untuk balik semula ke Kuala Lumpur, aku bercadang untuk singgah rumah atuk saudara . Tinggal dia seorang saja atuk saudaraku yang masih hidup. Dia tinggal di Kg Parit Seri Menanti , Muar.
11.00 pagi
Sampai di rumah atuk saudaraku, susah juga nak cari disebabkan kami terlalu lama dah tak datang dan terpaksa bertanya kepada penduduk kampung. Apabila sampai saya dan abang memperkenalkan diri, atuk saudaraku masih ingat keluarga kami.
12.00 tengahari
Beredar untuk meneruskan perjalanan balik ke KL.
3.30 petang
Tiba di rumah Kak Ngah di Serdang Raya, tahun ini kami lambat berkumpul adik beradik disebabkan saya beraya dulu di Temerloh ( giliran rumah mertua ) dan ayahku telah pergi buat selamanya pada syawal yang lepas, jadi harilah kami berkumpul 3 beradik dan anak saudara sebelah saya.

Jumaat, 25 September 2009

6 Syawal - Balik Ke Batu Pahat, Johor

5.50 pagi
Balik ke Batu Pahat, ikut jalan dalam melalui Bera, Keratong, Segamat, Labis, Chaah , Yong Peng, Parit Yani, Seri Gading dan sampai ke Kampung Parit Hj Salleh Ros, kampung tempat aku dibesarkan.
8.00 pagi

Singgah di Bandar Segamat untuk bersarapan, setelah 2 jam perjalanan. Menjamu selera di taman bunga seperti berada di kampung dengan suasana rumah dan pokok kelapa. Kami makan nasi lemak yang dibekalkan oleh ibu mertuaku. Biasalah ibu mertuaku sentiasa membekalkan makanan kepada semua anak, menantu & cucunya. Takut tak makan!!! 8.30 meneruskan perjalanan semula.

10.00 pagi
Sampai di rumahku yang dah lama ku tinggalkan sejak kematian ibuku 6 tahun yang lalu, kami hanya balik pada hari raya dan jika ada majlis perkahwinan serta kalau ada kematian saudara. Tahun lepas ayahku pun telah meninggalkan kami buat selama-lamanya.



11.00 pagi
Pergi ke kubur ayah dan ibuku untuk melawat mereka, orang kata kalau kita pergi hari Jumaat kita akan dapat berjumpa ahli kubur dimana mereka nampak kita datang tetapi kita tak nampak mereka .


11.30 pagi
Beraya ke 5 buah rumah (adik beradik ibuku). Kesemuanya di Kg Parit Hj Salleh Ros.

1.00 petang
Bersembahyang Jumaat di masjid kampungku. Aku dapat berjumpa dengan ramai saudara-mara, jiran tetangga, kawan-kawan dan lain-lain yang telah lama tidak berjumpa.
2.30 petang
Bertolak ke Kluang untuk menziarahi Mak Ucu (adik angkat arwah bapaku yang telah dipelihara sejak kecil oleh nenekku). Beliau tidak mempunyai suami & anak. Menumpang dirumah kawan baik dia. Sedih juga aku bila melihatnya. Apakah kita yang ada anak ni akan menjaga kita bila dah uzur nanti??? Waallahu aklam.

5.00 petang
Tiba di Kg Parit Bingan, menziarahi 2 buah rumah pakcikku yang juga adik beradik ibuku. Sebenarnya, ibu ku ada 10 orang adik beradik, ibuku yang bongsu. Tetapi, dialah yang pertama menemui Ilahi.

8.00 malam
Takku sangka Parit Raja mempunyai sebuah restoran macam Restoran Nelayan di Kuala Lumpur. Nama restoran ni Bisik-Bisik Restaurant & Cafe. Kami sekeluarga makan malam di sini. Makanannya memuaskan. Harga berpatutan. Alhamdulillah.

9.oo malam
Jumpa kawan lama ( Mohd Nazrin ) , kami sekelas dari darjah 1 hingga tingkatan 6.
10.00 malam
Balik ke rumah ayah & ibu ku untuk rehat dan tidur

Khamis, 24 September 2009

Hari Ke 5 Syawal 1430

7.00
Program hari ni nak pergi ke jamuan hari raya DUN Guai, menziarahi 6 keluarga orang tak nampak dan ke pasar ( lauk dah habis stok).
4.00
Menziarahi keluarga orang tak nampak dari 1 rumah ke 1 rumah, raya kali ini mereka beraya di rumah baru atas ikhsan Kerajaan Negeri Pahang. Meraka gembira yang amat sangat dengan kehadiran kami, mereka merupakan keluarga angkat kepada keluarga kami. Kami akan melawat mereka jika ada masa teluang terutama di hari raya.

Rabu, 23 September 2009

Hari Ke 4 Syawal 1430

7.30 pagi
Syawal ke 4 , hari ini tiada lagi program mungkin duduk rumah tunggu orang datang.
7.30 mlm
Ramai sanak saudara yang datang sehinggakan kami tak sempat nak ke mana-mana.Walaupun penat melayan orang yang datang kami seronok sebab dapat berjumpa sanak saudara, ada yang lama dah kami tak jumpa.

Selasa, 22 September 2009

Hari Ke 3 Syawal 1430

Hari ni dah masuk hari ke 3 Syawal , kemeriahan masih terasa dengan suasana raya terutamanya di kampung walaupun rumah bapa mertuaku di taman perumahan. Menu hari ni Nasi Dagang lauk ikan aya ( tongkol), pagi-pagi lagi ibu mertua dan isteri ku dah bangun untuk menyiapkannya. Proses membuat nasi dagang memakan masa yang agak lama kerana banyak kerja yang perlu dilakukan, beras kena dikukus berkali-kali ( 3 x ) , acar mentah dan gulai ikan tongkol perlu disediakan pagi ni juga bagi memastikan ia tahan lama.
Hari ini kami bercadang tidak ke mana-mana kerana kami menjangkakan ramai sanak saudara yang akan datang. Ini memandangkan inilah hari terakhir cuti raya bagi mereka yang tidak mengambil cuti tambahan raya. Selalunya mereka akan singgah dirumah bapa mertuaku terutama bagi mereka yang di dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur memandangkan rumah ini di tepi jalan dan hanya 4 km keluar ke Lebuhraya Pantai Timur.
Seperti yang dijangkakan memang ramai sanak saudara yang datang melawat mertuaku, semuanya pangkat anak dan cucu serta cicit. Aku pun terasa tua sangat apabila dipanggil pakcik dan atuk oleh anak dan cucu saudara, ada diantaranya yang lebih tua dari ku.
Petang ni kami membuat majlis hari jadi untuk anak saudaraku yang bernama Nur Fatihha bagi menyambut hari kelahiran yang ke 6 tahun kebetulan jatuh pada hari ini.


Isnin, 21 September 2009

Hari Ke 2 Syawal 1430


Syawal masuk hari ke 2 raya, masih meriah dengan kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara. Hari ini menu utama keluargaku Laksa Pahang. Laksa Pahang lebih kurang seperti laksa Kelantan dimana kuahnya ikan masak lemak tetapi laksa Pahang menggunakan mee laksa biasa dan ditambah dengan cili tumbuk dan belacan bakar yang menjadikannya lebih sedap.


Hari ini program kami sekeluarga bersama ipar pergi ke kampung kelahiran ayahku di Mengkarak. Kami pergi ke kubur Tok Mengkarak yang merupakan moyang kami. Anak-anak kami buat pertama kalinya dapat melihat kubur Tok Mengkarak. Tok Mengkarak datang dari Pagar Ruyung, Sumatera. Nama kampung tersebut telah mengambil sempena nama beliau yang telah membuka kampung tersebut. beliau juga dikenali sebagai Tok Keramat.



Lepas tu kami pergi ke kampung kelahiran ibuku di Lebak. Kami menziharahi rumah sepupu ibuku. Semua kampung yang kami lawati berada di tepi Sungai Pahang yang banyak sejarah dan lagendanya.

Ahad, 20 September 2009

Satu Hari Di 1 Syawal 1430 Bersamaan 20 September 2009


5.30 pagi
Awal-awal lagi dah bangun, almaklumlah pagi raya kita kena awal bangun. Isteri dan ibu mertua sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk hidangan di pagi Raya Aidil Fitri yang mulia ini, menu pagi raya ni nasi minyak atas permintaan ayah mertuaku. Tahun ini buat pertama kalinya aku beraya tanpa kedua-dua orang tua yang ku sayangi, ayah ku meninggal 20 hari raya tahun lepas dan ibu dah 6 tahun yang lalu. Tahun ni semua ipar dan biras ku berkumpul dirumah mertua ku.
6.30 pagi
Mandi sunat Aidil Fitri dan sembahyang subuh, kena awal mandi takut tak sempat nanti sebab bilik air hanya satu, orang ramai nak guna bilik air
8.15 pagi
Bersiap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidil Fitri setahun sekali untuk kita lakukannya. Pihak masjid telah umumkan untuk solat sunat Aidil Fitri akan dimulakan tepat jam 8.45 pagi, seperti biasalah masjid akan dipenuhi jemaah sebab itu aku bersiap awal bagi memastikan dapat tempat.
8.35 pagi
Aku tiba di perkarangan masjid telah dipenuhi oleh jemaah yang ingin menunaikan solat sunat Aidil Fitri.

9.30 pagi
Selesai solat dan khutbah Aidil Fitri yang di sampaikan oleh Iman Masjid Taman Sri Semantan. Semua jemaah bersurai balik ke rumah masing-masing.
10.00 pagi
Kami sekelurga beraya dan bermaaf-maafan sesama keluarga. Seperti biasa saya dan isteri akan meminta keampunan dari ibu dan ayah tercinta dan adik beradik yang lain. Anak-anak ku dan semua anak saudara juga menuruti kami, bagi mereka saat inilah yang dinanti-nantikan kerana mereka akan dapat duit raya.
10.30 pagi
Pergi beraya ke rumah jiran-jiran yang berdekatan mewakili ayah dan bonda yang tak sihat. Seperti biasalah rumah pertama yang di lawati adalah rumah Pak Anjang jiran sebelah rumah ayah.
12.30 tengahari
Balik ke rumah setelah penat beraya ke 4 buah rumah, bukan letih berjalan tetapi letih perut kerana bermacam-macam yang dimakan dan mungkin perut ni terkejut memyebabkan perutku terasa semacam.
2.30 - 6.30 petang
Melayan saudar-mara yang datang beraya dan melawat ayah , tak putus-putrus orang yang datang sebab ayah mertuaku mempunyai anak dan cucu saudara yang ramai. Rumah mereka merupakan tempat yang wajib dikunjungi oleh mereka setiap tahun.




Sabtu, 19 September 2009

Berbuka Bersama Seluruh Keluarga Di Akhir Ramadhan

Pada hari ni semua adik beradik aku telah berkumpul di rumah ayah di Taman Seri Semantan untuk menyambut hari raya. Dan buat pertama kalinya kami berbuka puasa bersama-sama.
Juadah berbuka puasa hari ini adalah bubur lambuk, ikan patin masak tempoyak, ikan patin goreng dan sebagainya. Emak pulak buat kuih khasidah yang dah lama tak makan.- shahidah

Jumaat, 18 September 2009

Pulang Berhari Raya

Hari ni aku & keluarga balik ke Temerloh untuk berhari raya. Tahun ni giliran kami beraya di Temerloh dahulu sebelum balik ke Batu Pahat pada raya ketiga. Tetapi, tahun ni berlainan sedikit kerana suamiku kata raya keenam balik ke Batu Pahat kerana kedua ibubapanya telah kembali kerahmatullah (ibunya 6 tahun yang lalu, bapanya Oktober 2008). Balik kesana pun hanya untuk menziarahi pakcik-pakcik & makcik-makciknya sahaja.

Selepas sahur bersama jiran tetangga lebih kurang pukul 6 pagi kami bergerak. Kami singgah di pasar borong Selayang untuk membeli barang-barang makanan untuk dimasak dipagi raya. Tak sanggup membeli di Temerloh, mahal..... dengar cerita harga barang-barang di Temerloh adalah yang kedua mahal selepas Johor Bharu. Tak tahu sejauh mana kebenarannya.
Selepas membeli belah, kami mula bergerak ke Temerloh lebih kurang pukul 7 pagi. Banyak kenderaan telah mula bergerak ke Pantai Timur. Suami memandu sehingga di persimpangan Genting sahaja kerana mengantuk (belum tidur lagi - pergi uptown Kota Damansara bersama kawan-kawannya). Aku memandu terus menuju ke Temerloh. Dah lama aku tak memandu di Lebuhraya Karak ni, biasanya suamiku akan menyuruh aku memandu selepas tol Karak (Lebuhraya Pantai Timur) je, sebab dia boring memandu di jalan yang lurus. Terasa berat keretaku kerana bawa banyak barang. Kenderaan banyak dijalanraya tetapi masih boleh memandu 90 km - 110 km.
Tiba di tol Bentong, kelihatan banyak kenderaan masuk ke Bentong sehingga jammed dari tol Bentong. "Orang Kelantan balik kampung" kata hatiku.
Alhamdulillah, kami tiba di depan rumah orang tuaku jam 8.30 pagi. Aku mengejutkan suamiku yang duduk disebelahku yang sedang tidur nyenyak... - Shahidah

Sahur Bersama Jiran Tetangga Ramadhan 1430

Sahur bersama jiran tertangga julung kali diadakan sebelum semua pulang ke kampung untuk berhari raya. Seperti biasa Restoran Durba sebagai destinasi atau tempat yang menjadi pilihan kami menjamu selera untuk sahur.

Seperti biasalah aku hanya minum air untuk bersahur dan melayan kekawan.
Menu di kedai mamak apalagi roti canai and the ganglah.

Isnin, 14 September 2009

Sambutan Ulangtahun Along ( Syafiq )

Sambutan ulangtahun ke 11 Along disambut secara sederhana di rumah Kak Ngah ku di Serdang bersama-sama adik beradik dan anak saudara selepas berbuka puasa. Along dapat kek yang di idamkan iaitu kek bertemakan permainan bolasepak ( sukan kegemarannya).

Makin besar umur anak maknanya makin tualah kita,tak berapa hari lagi aku pulak nak sambut ulangtahun kelahiran.

Sabtu, 12 September 2009

Majlis Berbuka Bersama Jiran Tertangga


Majlis Buka Puasa Bersama Jiran Tertangga di Perangsang Templer Park . Ini merupakan majlis berbuka puasa pertama kali diadakan bersama-sama jiran tertangga. Memang seronok makan beramai-ramai (52 orang ) . Menu yang banyak dengan rasa yang enak terutama kambing panggang menambah selera. Kanak-kanak lagi seronok dapat berbuka bersama kawan-kawan di meja mereka sendiri tanpa ditemani oleh ibu bapa.
.


Kami semua rasa seronok dan merancang untuk mengadakan majlis berbuka puasa sebegini setiap tahun, serta merancang juga yang lain melibat jiran tetangga. Mungkin lepas ni kita akan menganjurkan melancong beramai-ramai. Dengan adanya aktiviti seumpama ini akan menjadikan hubungan antara jiran tertangga bertambah erat. Selesai berbuka kami bergambar beramai-ramai sebagai kenangan.

Bermain Bowling Bersama Jiran Tertangga

Bermain bowling boleh dengan rakan setaman , alangkah seronoknya dengan berbagai gaya yang tersediri. Kebanyaknya lama tak main , jadi longkanglah sasarannya.
sebelah Aku beraksi .
Semua cuba menunjukkan bakat terpendam bermain bowling walaupun memang tak reti main.
Anak-anak pun tak ketinggalan mencuba bakat bermain bowling , gayanya ada yang berbakat bermain walaupun pertama kali bermain. Keputusan permainan dimenangi oleh En Saiful Nizam , aku setakat dapat tempat ketiga ( jadilah ). -jasa